TARIKH KURSUS TERKINI

Program yang sedang berjalan dan bakal berlangsung.

◆ 19 Oktober 2014, Taman Pertanian Sekayu, Kuala Berang Terengganu dengan kerjasama Jabatan Pertanian Negeri Terengganu – Kursus Pemprosesan Produk Hiliran Lebah Kelulut – juga FULL

◆ 24 & 25 Oktober 2014, di Sik, Kedah dgn kerjasama Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) – Kursus Ternak dan Proses Produk Lebah Kelulut – juga FULL

◆ 27 & 28 Oktober 2014, di Raub, Pahang dgn kerjasama Koperasi Kg Perasu, Raub, Pahang – Kursus Ternakan Lebah Kelulut – Juga FULL

Saya selaku pihak penganjur memohon jutaan kemaafan, InsyaAllah pegawai kami akan hubungi mrk2 yg sudah mendaftar dalam masa terdekat.

■ Bagi rakan2 yg berminat untuk sertai program berkaitan kelulut sila daftar segera utk:

1 & 2 Disember 2014 : Kursus Penternakan Lebah Kelulut Tahap 2, di UIA Kuantan.

13 Disember 2014 – Kursus Entomologi (Kenali Spesis Kelulut Komersil) Lebah Kelulut di Universiti Malaysia Kelantan, Jeli.

19 & 20 Disember 2014 – Kursus Intensif Ternakan Lebah Kelulut 7 in 1 (yg ditunda) – masih dibuka untuk penyertaan.

Berminat utk mendaftar sila hubungi Cik Fatin Izzati di talian: 013 3232916 atau daftar online di www.lebahkelulut.com

Terima kasih

DR PAKAR TERNAK KELULUT

Rasa berbeza mengikut spesies

 


 

DARIPADA sebuah kawasan hutan belantara, Dr. Ibrahim Shuib, 66, mendapat ilham untuk membangunkan tanah yang dibelinya pada tahun 2001.

Kesibukannya sebagai doktor perubatan di klinik miliknya sendiri iaitu Poliklinik Ibu Kota di Seri Gombak, Selangor tidak menghalang beliau untuk berbakti kepada tanah miliknya itu.

Beliau melakukan kerja-kerja menebang pokok-pokok dan membersihkan kawasan hutan seluas lapan hektar di Kampung Sungai Jang, Kerling, Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor, Selangor itu secara berperingkat-peringkat.

Idea asal beliau ialah untuk membangunkan projek tanah vetenari Tanaman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di kawasan tersebut bagi menjadikannya sebagai destinasi agropelancongan di Kuala Kubu Bharu.

Hasil usaha Ibrahim selama 13 tahun ternyata telah membuahkan hasil. Kini, beliau giat mempromosikan pelancongan berasaskan pertanian dan ternakan haiwan di ladang Great Farm miliknya itu.

Persekitaran yang dikelilingi 200 jenis tumbuh-tumbuhan dan haiwan ternakan seperti ayam, itik dan kambing merupakan tarikan utama pengunjung ke Great Farm yang menjanjikan suasana seperti di kampung halaman sendiri.

Pengunjung juga berpeluang menikmati buah-buahan tempatan yang dipetik secara terus dari pokok-pokok di ladang itu.

Tidak hanya tertumpu kepada sektor agropelancongan, Great Farm turut menternak lebah kelulut yang menghasilkan madu dan dijual secara komersial.

“Lebah kelulut merupakan antara tarikan utama pengunjung ke Great Farm. Kira-kira 150 sarang kelulut yang terdiri daripada 22 spesies serangga itu diternak di sekeliling ladang ini. Pengunjung dapat melihat proses mengambil madu dan kitaran kehidupan kelulut secara mendalam,” ujar Ibrahim ketika ditemui Kosmo! di ladangnya.

MOHAMED menggunakan vakum yang dilengkapi dengan sistem saluran untuk menyedut madu dari kantung madu kelulut.

 

Spesies serangga

Kelulut merupakan sejenis serangga dan berbeza dengan lebah madu. Namun, ia boleh menghasilkan madu seperti lebah madu. Ia boleh ditemui di hutan hujan tropika. Antara spesies atau koloni kelulut yang diternak oleh Ibrahim ialah Tetrigona, Homotrigona, Odontotrigona, Lophotrigona dan Tetragonilla. Kebanyakan spesies kelulut tergolong dalam keluarga Melipononi di bawah pecahan Trigona.

Habitat asal kelulut ialah di permukaan batang pokok-pokok di kawasan hutan. Penternak perlu memotong pokok yang menjadi habitat asal untuk dibawa pulang. Kemudian, kotak lebah dibuat di bahagian atas potongan pokok itu untuk memudahkan proses pengambilan madu.

Menurut Ibrahim, kelulut yang diternak di Great Farm diambil dari pelbagai jenis pokok di kawasan hutan negeri Kedah, Perak, Kelantan dan Perlis.

“Rasa setiap madu kelulut berbeza mengikut spesies. Kebanyakan madu kelulut rasanya manis malah ada juga mempunyai rasa masam. Dianggarkan sebanyak 18.5 peratus air terkandung dalam madu kelulut yang menyebabkan teksturnya lebih cair berbanding madu lebah.

“Setiap botol madu kelulut keluaran Great Farm dijual dengan isipadu 350 milimeter. Setiap koloni kelulut juga menghasilkan madu dalam jangka masa berbeza. Bagi spesies Geniotrigona yang bersaiz besar, hanya dua kali proses pengambilan untuk mendapatkan sebotol madu. Bagi spesies Laedriceps, ia mengambil masa selama enam bulan untuk mendapatkan sebotol madu kerana saiznya kecil,” ujar lelakia yang berasal dari Sungai Petani, Kedah itu.

IBRAHIM menunjukkan kotak menternak kelulut di atas batang pokok yang diambil dari hutan.

 

Di sekitar Great Farm, Ibrahim yang dibantu oleh tiga orang pekerjanya telah menanam lebih 200 jenis tanaman buah-buahan seperti kuini, belimbing besi, kedondong, mangga dan jambu. Tanaman itu membantu pemakanan kelulut yang mengambil nektar atau cecair yang diproses secara semula jadi untuk menghasilkan madu.

Kepelbagaian sumber pemakanan kelulut untuk menghasilkan madu juga membezakan spesies serangga itu dengan lebah madu. Bagi lebah madu, serangga itu hanya mengambil nektar daripada satu sumber iaitu bunga.

Daun dan resin atau getah pokok yang ditanam di sekitar ladang merupakan sumber makanan kelulut. Sumber makanan yang baik juga membantu menyumbang kepada penghasilan madu yang berkualiti dan berkhasiat.

Metabolisme

“Kelulut menjadikan resin di pokok jenis dipterocarp seperti meranti, keruin dan merawan di kawasan hutan sebagai sumber pemakanan untuk dibawa pulang ke sarang. Resin pokok-pokok hutan itu mengandungi antioksida yang tinggi. Ia merupakan agen pembersih bahagian dalaman badan yang membantu merangsang sel ketahanan tubuh manusia,” jelasnya yang berpengalaman selama empat dekad dalam bidang perubatan.

Antara kelebihan lain pengambilan madu kelulut kepada setiap individu ialah ia membantu meningkatkan kadar metabolisme dalam badan, agen kecantikan dan merawat pelbagai penyakit dan kecederaan dalaman. Madu kelulut juga digunakan dalam rawatan perubatan tradisional.

Seorang pengguna madu kelulut dalam kaedah rawatan, Sub Inspektor Mohd. Rodzi Ismail, 50, berkongsi pengalaman, luka di ibu jari kakinya berjaya disembuhkan dalam jangka masa yang singkat setelah menggunakan madu itu sebagai penawar.

SPESIES Laericeps merupakan kelulut yang paling lambat menghasilkan madu kerana saiznya yang kecil.

 

Luka kering

Menurutnya yang bertugas di Maktab Polis Diraja Malaysia Kuala Kubu Bharu, ibu jari kaki kanannya dihempap bongkah besi sewaktu beliau sedang bertugas.

“Akibat insiden itu, saya menerima tujuh jahitan pada ibu jari kaki. Saya juga diberi pelepasan bertugas selama dua minggu. Selain itu, saya juga menghidap penyakit diabetes dan kebiasaannya setiap luka di badan saya mengambil masa yang lama untuk sembuh.

“Perkenalan saya dengan Ibrahim telah membuka jalan penyelesaian terbaik untuk merawat luka itu. Beliau menyarankan saya minum dan meletakkan tiga titis madu di bahagian yang luka sebelum membalutnya. Pada keesokan hari, luka di jari kaki saya sudah kering dan mengambil masa yang singkat untuk sembuh,” jelasnya.

Mengakui ibu jari kakinya berdenyut sepanjang malam selepas madu disapu, dia berasa gembira apabila luka itu kering pada kadar segera. Selain itu, dia juga dapat menyambung tugasannya selepas tempoh cuti sakit.

Selain madu, propolis atau struktur binaan sarang kelulut dan kantung yang menyimpan madu yang diperbuat daripada resin pokok juga boleh digunakan dalam perubatan. Pengunjung di Great Farm berpeluang menikmati propolis yang boleh dimakan secara terus apabila proses pengambilan madu dijalankan.

Menurut Penyelia Great Farm yang bertanggungjawab dalam hal ehwal tanaman dan kelulut, Mohamed Mat Salleh, 64, kebanyakan pengunjung di ladang tersebut tertarik untuk melihat proses pengambilan madu kelulut dari sarang.

Jelas Mohamed yang merupakan individu yang menjalankan proses tersebut setiap hari, madu kelulut mudah diambil kerana spesies lebah itu tidak menyengat.

Ibrahim telah melakukan beberapa inovasi untuk memudahkan proses mengambil madu dari sarang. Dalam usaha untuk memudahkan proses itu, beliau telah menggunakan vakum atau pembersih hampa gas dengan saluran penyedut.

“Kantung yang menyimpan madu di dalam sarang bersaiz kecil dan ia juga mudah pecah apabila disentuh. Vakum yang telah diubah suai itu membantu mempercepatkan proses pengambilan madu. Saluran penyedut juga mudah menembusi setiap kantung madu,” jelasnya yang berasal dari Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan.

TERNAK KELULUT JANA RM25,000 SEBULAN

Walaupun semakin ramai pe­ngusaha madu kelulut muncul, syarikat Eddlyn Traditional Herb (ETH) masih mampu bersaing di pasaran tempatan.

 

Memiliki 120 sarang kelulut yang diternak dalam kotak, operasi ternakan syarikat itu di Dataran Bunga Sena, Pokok Sena, Kedah, menghasilkan empat jenis produk.

 

 

Malah, mereka turut membekalkan koloni (anak dan telur kelulut) kepada mereka yang berminat mengusahakan perusahaan itu.

Empat jenis produk terbabit ialah sabun mandi propolis, krim kulit siang dan malam, madu kelulut asli dan minuman botani madu kelulut campuran buah kurma.

 

FotoRAMLI (baju kuning) menunjukkan sarang kelulut asal dipindahkan ke dalam sarang kelulut berkotak.

 
Pengurus yang juga pengasas ETH, Ramli Abdul Rahman berkata, untuk pengeluaran madu, mereka menternak kelulut jenis Trigona Itama dan Trigona Thoratica kerana ia mudah dipelihara.

 
Bapa kepada lima anak itu mempunyai pengalaman luas dalam ternakan kelulut, selain membuat kajian menghasilkan produk berasaskan manisan serangga hutan itu.

“Produk yang kami keluarkan memang istimewa, contohnya madu kelulut dan minuman kesihatan botani madu kelulut campuran buah kurma baik untuk mencegah penyakit seperti batu karang, darah tinggi, buang angin, menguatkan tenaga batin, melancarkan perjalanan darah, menegangkan kulit, memecahkan lemak dalam badan dan menyerikan wajah,” katanya.

Produk yang dihasilkan itu boleh digunakan orang dewasa dan kanak-kanak berusia 10 tahun ke atas.

Produk lain ialah sabun mandi propolis, krim kulit siang dan malam yang mengandungi antioksidan, antibakteria dan vitamin E.

Ia amat sesuai menyembuhkan resdung, gatal kulit, kurap, ruam kanak-kanak dan mencerah serta melembabkan kulit muka, selain menyembuhkan luka kecil.

Produk yang dikeluarkan syarikat itu dipasarkan ke seluruh negara, selain Brunei dan Singapura.

Beliau yang dilantik sebagai Ahli Maj­lis Perunding Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) cawangan Pokok Sena bersyukur perniagaan yang diasaskan sejak tujuh tahun itu berjaya.

“Kami mampu mengeluarkan 400 botol madu kelulut sebulan dengan pendapatan RM25,000 sebulan.

“Kami juga melaksanakan perniagaan berkonsepkan rangkaian ternakan kelulut membabitkan secara individu dan agensi kerajaan.

“Menerusi konsep perniagaan terbabit, setiap peserta yang membeli sarang kelulut akan mendapat bimbingan serta khidmat nasihat percuma,” katanya.

Antara pengusaha yang mengusahakan ternakan berkonsepkan itu ialah di Kampung Tuk Kun dan Pokok Pauh di Pokok Sena, Pendang, Lubuk Kawah, Jitra di Kedah dan Bukit Merah di Perak,” kata­nya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/18

PROFESOR LEBAH MADU “DILAHIRKAN” USM KAMPUS KUBANG KERIAN

Ab. Aziz Al-Safi Ismail menerima jambangan bunga daripada keluarganya selepas menyampaikan syarahan mengenai Bekam dan Amalan Sunnah Mencegah Penyakit Kronik sempena Syarahan Umum Pelantikan Profesor di USM Kubang Kerian, semalam.

KOTA BHARU 29 Jan. – Hasil kajian yang dijalankan seorang penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM) mendapati rawatan berbekam mampu mengawal penyakit diabetes serta mengurangkan risiko untuk menghidapi penyakit kardiovaskular.

Pensyarah Jabatan Perubatan Masyarakat, Pusat Pengajian Sains Perubatan, USM Kubang Kerian, Prof. Dr. Ab. Aziz Al-Safi Ismail berkata, kajian yang dijalankan sejak dua tahun lalu itu membuktikan paras gula dalam darah boleh menurun apabila rawatan tersebut dijalankan secara konsisten.

Beliau berkata, bukan sahaja paras gula dalam darah tetapi semua parameter fungsi ginjal seperti serum urea, kreatinin dan asid urik yang mendorong kepada penyakit diabetes turut menunjukkan penurunan apabila melakukan bekam.

“Secara tidak langsung, masalah gout juga dapat dikawal kerana kadar asid urik dalam tubuh berkurangan selepas menjalani rawatan.

“Melalui kajian tersebut, didapati berbekam mampu menurunkan risiko sakit jantung dan strok dengan menurunkan antigen Von Willebrand dan meningkatkan fungsi endotelial,” kata beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan Syarahan Umum Pelantikan Profesor mengenai Bekam dan Amalan Sunnah Mencegah Penyakit Kronik di Dewan Utama, USM di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Bio Teknologi dan Teknologi Hijau, Datuk Che Abdullah Che Mat Nawi.

Ab. Aziz berkata, kajian yang ditaja oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu menunjukkan kelebihan berbekam hanya dapat dirasakan jika melalui rawatan setiap empat bulan atau 120 hari.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, dia kini giat berbincang dengan hospital kerajaan dan swasta bagi mewujudkan perkhidmatan perubatan tradisional kepada pesakit secara pilihan.

“Selain manfaat berbekam, perkhidmatan alternatif ini perlu diwujudkan di hospital-hospital sebagai menjamin kebersihan peralatan berbekam yang digunakan.

“Pada masa sama, saya melihat berbekam ini juga dapat mengurangkan pengantungan ubat-ubatan apabila menjalani rawatan tersebut secara konsisten,” katanya.

Dalam majlis tersebut, Profesor Dr. Siti Amrah Sulaiman turut menyampaikan syarahan umum mengenai Madu Lebah Penawar Penyakit Sepanjang Zaman.

Menurut beliau, hasil kajian yang dilakukan mendapati madu boleh digunakan untuk merawat penyakit.

“Berdasar kajian terhadap haiwan diabetes, ‘madu menolong’ menurunkan paras gula dalam darah dan mengembalikan tahap keupayaan anti oksidan dan melambatkan kerosakan organ seperti ginjal.

“Gabungan madu dan ubatan diabetes menunjukkan hasil positif dan dijangka boleh mengurangkan masalah komplikasi penyakit tersebut,” katanya.

Potensi madu kelulut jana pendapatan

 

SYAKIRAH (kanan) bersama ibunya Norlezah menunjukkan rupa sarang kelulut.

RAMAI yang beranggapan kelulut merupakan sejenis serangga seperti lebah madu yang tidak boleh menghasilkan madu dalam kuantiti banyak. Hakikatnya, serangga yang banyak ditemui di hutan hujan tropika itu boleh membantu menjana pendapatan seseorang jika bersungguh-sungguh mengusakan dan tahu kaedahnya.

 

Hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) penternakan kelulut yang diusahakan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) berjaya membuktikan meningkatkan pengeluaran madu kelulut sehingga 2 kilogram (kg) untuk satu koloni dalam tempoh satu bulan.

 

Menurut Pegawai Penyelidik MARDI, Mohd. Fahimee Jaapar, sebelum ini kelulut hanya digunakan sebagai ajen pendebungaan sahaja dan biasanya boleh menghasilkan madu dalam tempoh satu bulan.

 

“Sebelum tahun tahun 1990, madu kelulut belum lagi dikomersialkan, selepas melihat potensi kelulut, satu program telah diaktifkan oleh MARDI untuk mengkaji perilaku serangga tersebut,” katanya ketika ditemui.

 

Hasil penyelidikan tersebut telah berjaya dimanfaatkan oleh beberapa usahawan produk berasaskan madu, termasuklah Syakirah Hamdan, 24.

 

Menurut pengusaha madu kelulut yang banyak mendapat nasihat dan tunjuk ajar MARDI itu, beliau berjaya menternak lebah kelulut untuk mendapatkan madu dan propolis serangga tersebut.

 

Propolis ialah struktur binaan sarang kelulut dan kantung simpanan madu yang dihasilkan daripada campuran resin pelbagai sumber botani seperti pokok dan tumbuh-tumbuhan.

 

Potensi kelulut

 

Propolis terbahagi kepada dua iaitu propolis yang lembut dan keras dan rapuh.

 

Syakirah yang mengambil alih perniagaan Trigona Bee daripada ibunya, Norlezah Baharom, 53, akhir tahun lalu menjelaskan, hasil kerjasama dan khidmat nasihat MARDI membolehkan madu dihasilkan lebih banyak dan berkualiti sehingga boleh dikomersialkan.

 

Ujar bekas penuntut Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur jurusan Diploma Perniagaan itu, sebelum ini Trigona Bee ditubuhkan pada tahun 1995, syarikat tersebut hanya menternak lebah madu sahaja, namun setelah mendapati potensi dan khasiat madu kelulut lebih baik maka syarikat tersebut cuba kepada menternak kelulut.

 

MADU kelulut mengandungi bahan antioksidan yang tinggi dan baik untuk kesihatan.

“Madu lebah kelulut mengandungi bahan antioksidan yang tinggi dan dipercayai dapat melambatkan proses pengoksidaan dalam badan. Ia baik untuk mengurangkan tahap kolesterol dalam plasma darah dan risiko mendapat kanser perut,” katanya ketika ditemui di Kajang, Selangor.

 

Kesedaran masyarakat mengenai kebaikan madu kelulut telah menyebabkan permintaannya meningkat sekali ganda sehinggakan syarikat tersebut sukar menampung permintaan tersebut. Madu kelulut syarikat itu diperoleh daripada penternakan dua buah ladang yang terletak di Semenyih dan Serdang, Selangor.

 

Tambah gadis yang masih belum berumah tangga itu, lebihan permintaan tersebut berlaku disebabkan kelulut hanya menghasilkan madu secara bermusim iaitu pada musim pokok berbunga sedangkan permintaannya berterusan.

 

Ujar Syakirah, madu kelulut dijual pada harga RM40 bagi 350 gram.

 

Selain penjualan madu lebah dan kelulut, syarikat Trigona Bee turut menjual koloni kelulut kepada pelanggan yang berminat untuk menternaknya pada harga antara RM400 hingga RM1,000 untuk satu koloni bergantung kepada spesies kelulut.

 

“Sifat kelulut yang tidak menyengat berjaya menarik minat ramai orang untuk membeli koloni dan menternaknya sendiri di rumah,” kata Syakirah yang banyak dibantu keluarganya.

 

Jenis madu

 

Kini, hasil jualan keseluruhan produk syarikatnya mampu mencecah RM20,000 sebulan sekali gus menjadikan Syakirah tidak menang tangan.

 

Selain madu kelulut, syarikatnya turut menawarkan madu-madu lainseperti Madu Hutan, Madu Habbatus Sauda, Royal Honey, Madu Propolis,

 

“Madu-madu tersebut mempunyai keistimewaannya tersendiri.

 

“Misalnya, madu hutan yang boleh membantu meringan batuk, lelah, selesema dan masalah tenaga batin,” katanya sambil memberitahu produk tersebut mendapat sambutan daripada pengguna dari luar negara seperti Asia Barat.

Guru besar ceburi bidang ternakan lebah kelulut

Guru besar ceburi bidang ternakan lebah kelulut
  • Othman menunjukkan kotak ternakan lebah madu kelulut yang diusahakannya.
< 1 / 1 >

BIDOR – 4 Disember 2013, Bermodalkan RM2,800, seorang guru besar sebuah sekolah di sini, bersama rakan kongsinya mengusahakan ternakan lebah kelulut.

Othman Md Ali, 56, berkata, dia tertarik untuk menternak lebah itu setelah diberikan sebotol madu lebah kelulut oleh seorang rakan yang merupakan usahawan menternak lebah bagi mengubati penyakit batuk dihidapinya.

Menurutnya, setelah beberapa hari minum madu itu, batuk yang dialami beransur  sembuh.

“Saya terus tertarik untuk menjadi usahawan lebah kelulut dan sebagai permulaan saya bersama rakan kongsi menternak serangga itu di dalam tujuh kotak.
“Kini kami mempunyai 300 kotak yang mampu menghasilkan kira-kira 40 kilogram sebulan,” katanya.

Othman berkata, madu berkenaan dijual dengan harga RM150 sebotol dan pendapatan diterima setiap bulan adalah antara RM5,000 hingga RM6,000.

“Madu ini dijual di pekan Bidor kepada rakan dan peminat madu lebah kelulut yang kini menjadi pelanggan tetap.

“Saya menjalankan perusahaan ini sendiri tanpa bantuan mana-mana agensi kerajaan atau swasta tetapi kini saya berusaha mendapatkan khidmat nasihat Fama, Jabatan Pertanian, Sirim, Mardi dan  Jabatan Perdagangan  Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna Korporat,” katanya.

Sumber: Sinar Harian